UKP6033 Kajian Tinjauan/Sem120142015/Rossalmi bt Mohd
Nawi/M20131001418/Tugasan Individu
Plagiat
Definisi Plagiat
Plagiat menurut Kamus Pelajar
Edisi Kedua ialah hasil mencedok karya atau
tulisan orang lain yang disiarkan kembali sebagai karya sendiri (biasanya dalam
hal karang-mengarang). Memplagiat didefinisikan sebagai mencedok karya atau
tulisan orang lain dan menyiarkannya sebagai karya sendiri.
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat, plagiat adalah; memplagiat, mencedok kata-kata, idea, dan sebagainya daripada
orang lain dan menggunakannya sebagai karyanya sendiri atau juga disebut menciplak.
Merujuk kepada
Kamus Pelajar pula, maksud yang diperoleh adalah hampir sama iaitu mencedok karya
atau tulisan orang lain yang disiarkan kembali sebagai karya sendiri.
Manakala menurut Wikipedia, plagiarisme ialah
mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain
sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan
sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri atau
menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan
asal-usulnya. Ia juga melibatkan perbuatan meringkas dan memprafasakan, dengan
mengutip secara tidak langsung tanpa menyebutkan sumbernya; meringkas dan memprafasakan
dengan menyebut sumbernya, tetapi rangkaian kalimat dan pilihan katanya masih
terlalu sama dengan sumbernya.
Hal-hal yang tidak tergolong
sebagai plagiarisme pula ialah menggunakan informasi yang berupa fakta umum;
menuliskan kembali dengan mengubah perkataan atau prafasa pendapat orang lain
dengan memberikan sumber jelas dan mengutip tulisan orang lain dengan memberikan tanda batas jelas kutipan
tersebut dan menuliskan sumber asalnya.
Dalam bidang akademik,
gejala menciplak oleh pelajar, profesor dan penyelidik dianggap sebagai
penyelewengan akademik dan pesalah boleh dikenakan hukuman berat termasuklah
digantung atau dibuang dari universiti. Dalam bidang kewartawanan pula,
plagiarisme dianggap sebagai pencabulan etika kewartawanan dan pemberita yang
didapati menciplak akan dikenakan tindakan tatatertib termasuklah digantung atau
diberhentikan kerja.
Penciplakan dalam bidang
akademik dan penulisan mempunyai sejarah berkurun lamanya. Kini dengan adanya
perkembangan internet, rencana telah dipaparkan secara teks elektronik, menjadikan perbuatan
menciplak atau menyalin hasil kerja orang lain menjadi lebih mudah dengan hanya
melakukan potong dan tampal (copy and paste) sesuatu teks dari
sesebuah laman web.
Penciplakan bukanlah satu aktiviti cetak rompak. Walaupun kedua-dua istilah
boleh merujuk kepada sesuatu perbuatan yang sama, tetapi masing-masing
mempunyai maksud yang berbeza. Cetak rompak adalah bermaksud pencabulan hak
terhadap pemilik hak cipta, di mana bahan-bahan yang dilindungi hak cipta
digunakan sewenang-wenangnya tanpa izin. Sementara penciplakan pula adalah
berkaitan dengan perbuatan mencedok hasil kerja penulis asal dan
menterjemahkannya sebagai karya sendiri.
Jenis-jenis Plagiarisme
Terdapat beberapa jenis
Plagiarisme :
1.
Plagiarisme Akademik dan Jurnalistik :
Plagiat jenis ini telah lama
wujud. Kini dengan perkembangan dan kecanggihan teknologi, plagiarisme internet
telah mengambil tempat. Dengan istilah cut,
copy, dan paste, atau menyalin semula, ia telah menjadi plagiat.
2.
Plagiarisme Lengkap :
Segala petikan atau pernyataan
telah diambil secara menyeluruh tanpa mengubah apa-apa dari segi bahasa atau
tanda baca. Pengkaji akademik berpendapat individu yang melakukan penciplakan
jenis ini adalah individu yang kurang mahir dalam bidang-bidang tertentu atau sekadar
malas untuk berusaha.
3.
Plagiarisme Separa :
Plagiat jenis ini berlaku apabila
petikan atau pernyataan diambil dan digabungkan daripada dua atau tiga sumber
yang berbeza.
4.
Plagiarisme Minima :
Plagiat jenis ini dimaksudkan
apabila individu itu mengambil konsep, pendapat atau fikiran orang lain dan
menterjemahkannya dalam ayat dan bentuk yang berbeza. Walaupun sesetengah
individu berpendapat ia bukanlah plagiat, namun ia sebenarnya mencuri pendapat
atau idea orang lain.
5.
Sumber Rujukan :
Plagiat jenis ini berlaku apabila
terdapat individu mengambil beberapa senarai rujukan yang diperoleh daripada
sesuatu artikel atau jurnal, yang mana rujukan yang telah diambil tersebut
tidak memberikan akses maklumat yang diperlukan terhadap penulisannya. Terdapat
juga individu yang menulis nama rujukan palsu. Apa yang berlaku di sini,
individu tersebut telah menyalahgunakan sumber rujukan yang diperoleh dengan
banyak dengan meletakkannya sebagai rujukan untuk penulisannya sendiri.
6.
Self-Plagiarisme :
Plagiat jenis ini berlaku apabila
seseorang individu menggunakan karya atau petikannya sendiri daripada terbitan
yang pertama, sama ada sepenuhnya atau sebahagian, atau pemikiran yang sama lalu
menulisnya kembali di dalam karya atau terbitan yang lain. Penerbitan yang
dilakukan telah menggunakan bahan yang sama tetapi melalui media yang berbeza telah
menjadi kebiasaan yang sangat umum di kalangan ramai penulis.
Kesan Aktiviti
Plagiat.
Aktiviti plagiat banyak memberi
kesan kepada imej dan integriti pendidikan. Ia merupakan budaya negatif dan
amat merbahaya kepada dunia intelektual negara jika tidak dibendung sebijak
mungkin. Kegiatan tidak bermoral ini jika dibiarkan boleh menjadi barah kepada
institusi pengajian tinggi (IPT) negara dan mampu meruntuhkan institusi ini
dalam jangka masa panjang tanpa kita sedari.
Aktiviti plagiarisme adalah
melibatkan etika dan moral penulisan di mana penulis adalah bertanggungjawab ke
atas apa yang ditulis serta memberikan pengiktiran sewajarnya kepada hasil
penulisan orang lain sewajarnya. Gejala ini boleh mencemarkan imej institusi
pengajian tinggi di negara ini dan akhirnya akan melahirkan pensyarah serta
siswazah yang tidak berkualiti, kurang kompeten dan tidak berdaya saing.
Masalah plagiat untuk menyiapkan
tesis atau kertas kerja hanya boleh ditangani jika pihak universiti berwaspada
dan mengambil langkah berjaga-jaga memantau masalah kronik dunia intelektual
ini. Pihak universiti mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung
masalah ini terus berleluasa. Teknologi maklumat dan lambakan laman web
memudahkan instrumen ini disalahgunakan di dalam aktiviti plagiat dan oleh yang
demikian, perisian komputer seperti Word
Check System, Turnitin, Scan My Essay dan
lain-lain yang banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat
sangat berkesan dalam membendung kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan
kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain.
Kerajaan juga mesti tegas memberi
amaran untuk menarik balik ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) pelajar IPT
atau pensyarah yang menipu dengan mengupah orang lain secara profesional untuk menyiapkan
tesis mereka. Perkara ini perlu demi memelihara dan menjaga nama baik bukan
sahaja universiti tempat mereka mengikuti pengajian, malah imej negara.
Semua pihak perlu memandang serius
gejala ini dan kegagalan menanganinya boleh menjejaskan reputasi dan imej
Malaysia serta mencemar integriti universiti. Ini adalah kerana negara
memerlukan idea dan perspektif yang baru dan lebih bersifat tempatan dalam
merangka dasar pembangunan dan bukan pandangan yang diciplak daripada
penerbitan asing. Banyak keputusan kerajaan terutamanya dalam penentuan dasar
banyak bergantung kepada kajian-kajian universiti.
Dari sudut pandangan penulis
sebenar itu sendiri pula, sudah tentu penulis itu akan berasa marah dan kecewa
apabila hasil penulisan mereka telah diciplak atau diplagiat secara bulat-bulat
oleh orang lain dan tidak ada sedikit pengiktirafan yang menyatakan bahawa
petikan atau penyataan yang telah ditulis tersebut adalah hakmiliknya yang asal
dan asli.
Refleksi
Aktiviti plagiarisme bukanlah
perkara baru di dalam sejarah penulisan dan pendidikan negara, namun begitu
perhatian dan tindakan serius perlu diambil bagi menangani masalah ini agar tidak terus menular. Melihat kepada
bahaya dan kesan negatif budaya plagiarisme di dalam bidang pendidikan negara,
maka usaha untuk menanganinya hendaklah dilakukan secara menyeluruh dan
komprehensif. Ini kerana jika masalah ini tidak dikawal, ia akan memberi kesan
yang tidak baik kepada proses pembelajaran palajar di universiti dan tabiat
buruk ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam pekerjaan kelak.
Pemahaman serta kesedaran yang
tinggi berkenaan impak aktiviti negatif ini seharusnya didedahkan sejak di
bangku sekolah rendah lagi dan dipanjangkan ke peringkat sekolah menengah dan
peringkat matrikulasi atau kolej agar gejala ini tidak lagi menjadi barah di
dalam IPT. Ini adalah kerana di samping boleh menjejaskan imej, integriti dan
kualiti IPT, budaya ini turut mempengaruhi minda dan psikologi para pelajar
universiti secara tidak langsung di mana pelajar yang melakukan kegiatan tidak
bermoral ini akan terus dibelenggu rasa malu dan hilang keyakinan diri.
Walaupun masalah plagiat yang
dilakukan oleh pensyarah dan pelajar universiti negara ini masih kecil, namun
jalan penyelesaian terbaik perlu dilaksanakan dengan segera. Ini adalah penting
bagi memastikan kajian ilmiah atau tesis yang dihasilkan adalah asli,
berkualiti dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh universiti. Contohnya,
seseorang pelajar yang telah berjaya memiliki ijazah seharusnya telah menguasai
bidang yang telah dipelajarinya di universiti dan seterusnya dapat
mempraktikkan segala ilmu dan kemahirannya di alam pekerjaan.
Melalui pengalaman saya sendiri
pula, tidak dinafikan saya sendiri berasa kecewa apabila hasil kerja atau
terbitan yang telah diusahakan dengan sesungguh hati telah diciplak, ditiru
atau diambil sewenang-wenangnya tanpa makluman atau pengiktirafan terhadap diri
saya sebagai pemilik yang asal dan sebenar.
Rujukan
Jessica
Gopalakrishnan, What Is Self Plagiarism and
How to Avoid It, Aug 29, 2011 http://www.ithenticate.com/plagiarism-detection-blog/bid/65061/What-Is-Self-Plagiarism-and-How-to-Avoid-It#.VCGdOpSSyP88
Madzlina
Nordin, Arkib Utusan Online, 28/09/2009
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm
Kamus Bahasa Melayu http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=plagiat
Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kalau ambil sesuatu tulisan dgn menyatakan sumber rujukan scr umum boleh ke? Contoh , sumber dari : google
ReplyDelete